Perbahasan YB Wong Hon Wai (Ahli Parlimen Bukit Bendera) semasa bacaan kedua Rang Undang-undang Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019 pada 15-7-2019
Video here
Tuan Speaker,
Saya bangun untuk turut menyertai perbahasan terhadap Rang Undang-undang Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) 2019. Pertama sekali, ruang lingkup akta yang sebelum ini hanya terpakai untuk pekerja estet dan perlombongan. Akan tetapi melalui cadangan pindaan ini telah termasuk juga sektor lain, termasuk juga pembinaan, pembuatan dan sektor- sektor yang lain.
Mengikut pemahaman saya, ia juga meliputi pekerja tempatan dan pekerja asing. Saya difahamkan tadi Yang Berhormat Menteri telah menyebut dalam perbahasan beliau bahawa rang undang-undang ini bukan mandatori, hanya nyatakan standard minimum.
Saya ingin merujuk kepada seksyen 24F yang antara lain, seseorang majikan atau penyedia penginapan berpusat hendaklah memastikan bahawa setiap penginapan yang disediakan untuk pekerja mematuhi standard minimum yang dikehendaki di bawah akta ini.
Oleh itu satu perkataan baru, ‘penginapan berpusat’ telah diperkenalkan melalui rang undang-undang ini. Tuan Yang di-Pertua, kalau kita mengkaji perundangan ataupun standard piawaian antarabangsa, saya ingin memetik dua piawaian sahaja. Pertama ialah ILO, International Labour Organization, Workers’ Housing Recommendation 1961 atau lebih dikenali sebagai Recommendations 115 dan juga satu lagi piawaian antarabangsa Code of Conduct for Responsible Business Alliances. Sebelum ini dikenali sebagai The Electronic Industry Citizenship Coalition (EICC) yang mengawal selia piawaian keadaan kerja dalam industri elektronik.
Tuan Speaker,
Akan tetapi saya membaca seksyen 24C dalam rang undang-undang ini ada beberapa perkara tentang deskripsi bahawa bagaimana penginapan standard minimum ini diguna pakai.
Akan tetapi saya ingin memetik Recommendation 115 ILO Standard. Antara contoh Recommendation 115 adalah International Labour Organization Standard hendaklah dengan izin housing should ensure structural safety and reasonable levels of decency, hygiene and comfort. Terdapat 19 syarat. Saya hanya petik beberapa. A separate bed for each worker. Setiap pekerja hendaklah ada katil berasingan. Bed shall not be arranged in tier of more than two. Kalau penyediaan katil double decker, tidak boleh lebih daripada katil double decker.
Dalam piawaian ini juga menyatakan separate accommodation of the sexes. Maksudnya, penginapan untuk pekerja lelaki dan pekerja perempuan hendaklah berasingan dan juga banyak lagi. Semua 19 terdapat dalam International Labour Organization Standard. Saya harap, 19 syarat daripada Recommendation 115 ini boleh dinyatakan secara pentadbiran dalam garis panduan dan kelulusan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Bahagian Sumber Manusia.
Apabila saya membaca rang undang-undang ini, saya juga meneliti bahawa terdapat tiga pemerhatian saya iaitu penyediaan penginapan ini tidak nyatakan kuantum sewa dan ini bermakna ia bukan seperti perundangan sebelum ini dikenakan secara percuma. Majikan boleh mengutip sewa. Kuantum tidak dinyatakan sama ada RM100, RM500, RM1,000 tidak dinyatakan.
Juga saya memerhatikan bahawa dalam rang undang-undang ini, seksyen 24M: Majikan tiada kewajipan menyediakan penginapan bagi tanggungan pekerja. Tanggungan pekerja maksudnya anak-anak ataupun isteri pekerja.
Seksyen 24L(2)(a) keperluan pekerja mematuhi peraturan tatatertib sebagaimana yang ditentukan oleh majikan. Maksudnya disiplin pekerja perlu dipatuhi dan sama ada perlu dirunding bersama pekerja itu. Ini kerana keperluan pekerja mematuhi peraturan tatatertib sebagaimana ditentukan oleh majikan. Maksudnya hanya majikan unilateral boleh menentukan peraturan tatatertib dan sama ada rujukan ataupun perbincangan dengan pekerja ini perlu diadakan.
Saya ingin menyatakan secara prinsip tadi bahawa terdapat beberapa observation saya dan meminta untuk Yang Berhormat Menteri untuk memberikan penjelasan lebih lanjut.
Tuan Speaker,
Saya ingin berkongsi apa yang berlaku di negeri Pulau Pinang. Di negeri Pulau Pinang terdapat lebih kurang 100,000 orang pekerja asing yang sah di pelbagai industri. Kebanyakannya ialah pembinaan dan juga ada yang di sektor elektronik. Seramai 100,000 orang pekerja asing ini ada yang duduk di rumah-rumah kos rendah, flat-flat kos rendah dan ada juga duduk di rumah teres dan sebagainya.
Baru-baru ini Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengadakan inisiatif untuk membina asrama pekerja. Asrama pekerja ini dengan konsep yang baharu. Setiap satu boleh memuatkan lebih kurang 5000 orang pekerja, asrama pekerja untuk 5000 orang pekerja. Satu asrama pekerja telah siap dan lima buah lagi masih dalam perancangan dan telah diluluskan.
Masalah yang saya observe berlaku di Seberang Perai Tengah, apabila asrama pekerja ini telah siap, yang boleh memuatkan 5000 orang pekerja ini, buat masa ini hanya 100 lebih orang pekerja yang dipindah masuk. Asrama pekerja ini dibuka sama ada pekerja tempatan ataupun pekerja asing tetapi hanya 100 lebih orang pekerja yang dipindah masuk. Ramai yang masih duduk di taman-taman perumahan, masih duduk di rumah-rumah kos rendah.
Saya meminta supaya Kementerian Sumber Manusia melihat kepada satu penyelesaian secara perundangan kerana ini bukan wajib menyediakan standard minimum tetapi ada kes-kes seperti saya kata di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, asrama pekerja telah siap tetapi kerana majikan ataupun pekerja perlu membayar yuran RM200, maka terdapat masalah pelaksanaan.
Tidak ada peruntukan undang-undang yang memastikan bahawa pekerja- pekerja sama ada tempatan ataupun asing perlu duduk dalam asrama pekerja. Oleh itu, mereka masih duduk di rumah-rumah kos rendah. Rumah kos rendah sebenarnya perlu dikosongkan supaya penduduk-penduduk tempatan dapat duduk dalam rumah kos rendah. Akan tetapi sekarang rumah-rumah kos rendah ada banyak yang diduduki oleh pekerja asing.
Oleh itu, kita ada satu mismatch, masalah mismatch. Walaupun kita siapkan 5,000 tempat untuk pekerja-pekerja tetapi terdapat masalah pelaksanaan kerana tiada undang-undang khusus sama ada undang-undang negeri atau undang-undang Persekutuan yang mewajibkan pekerja mesti duduk dalam asrama pekerja. Saya khasnya rujukkan kepada pekerja-pekerja asing.
Oleh itu, saya meminta supaya satu perbincangan dilakukan kerana kita ada garis panduan. Di Pulau Pinang ada garis panduan asrama pekerja yang sepanjang 11 muka surat dengan pelbagai syarat dan sebagainya yang begitu baik dan asrama pekerja telah siap tetapi pekerja tidak pindah masuk. Itulah masalah yang perlu kita tangani.
Sebagai rumusan, saya mengalu-alukan standard minimum ini dan harap standard minimum ini pada masa depan boleh diangkat kepada tahap lebih tinggi kepada satu acceptable standard dengan memenuhi keperluan international.
Saya ambil maklum juga, dalam tahun 2019, Malaysia masih dalam senarai watchlist untuk human trafficking dalam Tier 2 Watch List on the human trafficking. Salah satu sebab kita masih dalam Tier 2 Watch List on the human trafficking ialah kerana kita tidak mempunyai perundangan yang mencukupi untuk pekerja asing. Oleh itu, kita masih dalam watch list dalam human trafficking yang dikeluarkan oleh United States.
Tuan Speaker,
Kita sering dengar tadi, wakil rakyat lain telah membangkitkan bahawa masalah perumahan pekerja-pekerja. Ada pekerja-pekerja construction yang duduk dalam kontena di tapak pembinaan. Itu adalah satu keadaan yang kurang memuaskan. Ventilation, pencahayaan, sanitation dan sebagainya dan ini memang kalau nak ikut ILO standard for minimum housing standard, itu memang tidak dipatuhi.
Tuan Speaker,
Saya rasa bukan sahaja kita perlu meluluskan undang-undang ini dalam semangat ataupun spirit sahaja tetapi juga perlu pelaksanaannya. Pelaksanaan undang- undang ini supaya standard antarabangsa terhadap perburuhan, terhadap buruh atau labour standard dan juga minimum standard for housing dan ini dapat diangkat ke satu tahap yang lebih tinggi sejajar dengan international standard. Dengan itu, saya mohon menyokong.